Transaksi hartanah wajib lapor kepada LHDN dalam tempoh 60 hari
KUALA LUMPUR – Semua pihak yang terlibat dalam transaksi pemilikan hartanah di negara ini diwajibkan melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh 60 hari daripada tarikh transaksi bagi tujuan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Operasi Setem dan CKHT HASIL, Azman Muhammad berkata, ia melibatkan pelbagai urusan seperti jual beli, pindah hak, pindah milik dan serah hak hartanah yang perlu dilakukan melalui portal MyTax.
“Tanggungjawab pelupus (penjual) dan pemeroleh (pembeli) adalah untuk melaporkan pelupusan dan pemerolehan aset kepada LHDN. Jika lewat, penalti di bawah Seksyen 29(3) Akta CKHT boleh dikenakan.
“Malah tindakan pendakwaan juga boleh diambil terhadap mereka yang gagal menghantar Borang Nyata CKHT dengan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai tujuan pewujudan CKHT, beliau berkata cukai itu membantu meningkatkan hasil negara, mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab percukaian serta mengawal aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah.
“CKHT dikenakan ke atas keuntungan modal. Walaupun keuntungan modal lazimnya tidak dikenakan cukai, tetapi dalam kes hartanah, nilainya tinggi dan banyak berlaku spekulasi.
“Akibatnya, rakyat yang benar-benar memerlukan rumah kediaman terpaksa membeli pada harga mahal. Justeru, kerajaan berpandangan perlunya pasaran hartanah distabilkan menerusi CKHT,” katanya.
Menurut Azman, kadar CKHT ditentukan berdasarkan tempoh pegangan hartanah dan berbeza mengikut kategori pelupus.
Sebagai contoh, individu yang menjual hartanah dalam tempoh tiga tahun pertama dikenakan cukai 30 peratus, manakala pada tahun keempat kadar cukai diturunkan kepada 20 peratus dan tahun kelima 15 peratus. Bagi tahun keenam dan seterusnya, individu tidak lagi dikenakan cukai.
“Perincian kadar CKHT untuk kategori lain termasuk individu, syarikat dan warga asing boleh dirujuk melalui portal rasmi HASIL di www.hasil.gov.my,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







