IPU lebih 100, semua aktiviti luar murid dihentikan serta-merta – KPM
KUALA LUMPUR – Semua aktiviti di luar bilik darjah termasuk kegiatan keramaian dan sukan hendaklah dihentikan serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesuatu kawasan melebihi 100.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah berkenaan pula hendaklah ditutup dengan serta-merta.
“Arahan ini susulan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini, dengan beberapa lokasi merekodkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.
“Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu diminta untuk memantau rapat keadaan jerebu di lokasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut KPM, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa terpelihara ketika berdepan keadaan jerebu.
Selain menghentikan aktiviti luar, pihak sekolah turut diminta menangguhkan sebarang aktiviti di luar bilik darjah sekiranya keadaan cuaca terlalu panas dan berjerebu.
“Pihak sekolah perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas dan jerebu bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di juga diminta memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Murid juga perlu dinasihatkan supaya mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi membantu mengawal suhu badan, manakala bekalan air perlu disediakan kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan air minuman,” tambahnya.
KPM turut menggesa JPN, PPD dan institusi pendidikan supaya sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berhampiran sekiranya berlaku komplikasi terhadap murid akibat jerebu dan cuaca panas.
Dalam perkembangan sama, JPN Johor mengambil tindakan susulan berdasarkan garis panduan KPM susulan keadaan jerebu dan bacaan IPU terkini.
Institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu Pahat ditutup sementara mulai 7 Oktober sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
Susulan penutupan itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan berdasarkan kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.
KPM turut meminta semua pihak berkaitan supaya sentiasa menyemak bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil demi menjamin kesihatan murid serta warga institusi pendidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








