Persetujuan Hamas terima pelan damai bersyarat buka laluan bantuan ke Gaza
SEPANG – Persetujuan Hamas menerima pelan damai bersyarat yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka membuka ruang ke arah gencatan senjata serta mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan itu diharap menjadi titik permulaan kepada keamanan berpanjangan dan memastikan rakyat Palestin menerima bantuan dengan lebih cepat.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya dimaklumkan bahawa Hamas telah menerima secara bersyarat 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Trump untuk menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
“Mereka bersetuju untuk melepaskan semua tahanan atau hostages dengan syarat tentera Israel berundur sepenuhnya dari Gaza,” katanya dalam sidang media di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, Hamas turut bersetuju dengan cadangan supaya pentadbiran Gaza diuruskan oleh pihak berkecuali namun menegaskan ia mesti dikendalikan oleh rakyat Palestin sendiri.
“Mereka mahu Gaza ditadbir oleh badan profesional Palestin, bukannya orang luar. Selepas itu, terpulang kepada mandat rakyat Palestin untuk menentukan pentadbiran negara mereka,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, persetujuan Hamas itu merupakan langkah penting menghentikan serangan ke atas Gaza serta membolehkan penghantaran bekalan kemanusiaan dimulakan segera.
“Perkara paling utama ialah hentikan pengeboman dan mulakan penghantaran bekalan kemanusiaan. Saya berpandangan pintu Rafah dan pintu King Hussein adalah laluan terbaik kerana keutamaan kita adalah membantu rakyat Palestin,” katanya lagi.
Tambah beliau, Trump memberi tempoh 48 jam kepada Hamas untuk memberi jawapan terhadap cadangan berkenaan dan arahan menghentikan pengeboman dikeluarkan sebaik persetujuan dicapai.
Mohamad turut berkata, tekanan antarabangsa yang digerakkan menerusi Global Sumud Flotilla (GSF) dengan penyertaan lebih 40 negara menjadi bukti kukuh sokongan dunia terhadap rakyat Palestin.
“GSF menunjukkan sokongan besar masyarakat antarabangsa. Ada negara yang menghantar kapal, ada yang menyertai secara langsung, ini membuktikan keseriusan dunia.
“Apabila pintu Rafah dan King Hussein dibuka nanti, urusan menghantar bantuan kemanusiaan akan lebih cepat dan Malaysia perlu bersedia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Wisma Putra akan menyelaras usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang mahu menghantar bantuan agar ia dapat diatur bersama pihak berkuasa Jordan dan Mesir.
“NGO Malaysia yang hendak membantu perlu bersiap sedia. Jika kita terus hantar dengan kapal, kemungkinan berdepan nasib sama seperti GSF.
“Sebaiknya semua berurusan dengan Wisma Putra supaya lebih teratur,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








