BERITA SEMASAPOLITIK

PAS Selangor tawar dua ADUN sertai misi Global Sumud Flotilla 2.0

SHAH ALAM – PAS Selangor menawarkan dua Ahli Dewan Negeri (ADUN) untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diketuai Menteri Besar Selangor sebagai tanda solidariti merentas perbezaan politik dalam isu kemanusiaan sejagat.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri berkata, tawaran itu dibuat susulan pelantikan Amirudin Shari sebagai wakil khas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Menurut beliau, pihaknya menyokong penuh misi tersebut yang disifatkan sebagai usaha penting di peringkat antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan.

“Usaha ini amat signifikan dalam menunjukkan solidariti berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PAS sejak sekian lama komited dalam usaha bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui pelbagai saluran termasuk PAS Relief serta kerjasama dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berkata, tawaran penyertaan dua ADUN PAS Selangor dalam misi berkenaan dibuat sebagai lambang solidariti tanpa syarat terhadap rakyat Palestin selain komitmen bersama merentas perbezaan politik serta kesediaan memikul risiko dalam misi mencabar tersebut.

Dalam masa sama, beliau menegaskan isu Palestin merupakan isu kemanusiaan dan keadilan sejagat yang perlu didukung semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.

Katanya, penyertaan wakil PAS dalam delegasi itu diyakini mampu memperkukuh mesej bahawa rakyat Malaysia bersatu dalam membela nasib golongan tertindas.

Menurutnya lagi, sekiranya terdapat kekangan pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, PAS Selangor bersedia menanggung sendiri kos penyertaan wakil mereka melalui dana parti.

“Pendekatan inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk pembangkang akan memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius dalam memperjuangkan kebebasan dan keadilan untuk Palestin,” ujarnya.

Beliau turut menyeru rakyat Selangor dan Malaysia agar terus mendoakan keselamatan delegasi misi berkenaan yang bakal berdepan pelbagai risiko sepanjang pelaksanaannya.

Tegasnya, PAS Selangor akan terus komited menyokong segala usaha ke arah pembebasan Palestin serta menamatkan penindasan terhadap rakyat Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button