
PKR sokong tindakan Australia, Itali tegas terhadap Israel
PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong penuh langkah berani yang diambil oleh kerajaan Australia dan Itali untuk menekan rejim Israel berhubung jenayah perang dan genosid di Gaza.
Ketua Biro Hubungan Antarabangsanya, Maszlee Malik berkata, tindakan Australia dan Itali yang masing-masing membatalkan visa seorang pemimpin kanan Israel dan menghalang negara haram itu daripada menyertai pameran perdagangan antarabangsa berprestij ‘Fiera de Levante’, adalah isyarat jelas keberanian serta ketegasan dua negara tersebut.
“Tindakan ini adalah langkah tepat, sah dan berani yang selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk mendesak Israel bertanggungjawab atas jenayah perang serta genosid yang dilakukan terhadap rakyat Gaza.
“Keadilan berpandangan, negara-negara lain wajar mengikuti jejak Australia dan Itali dengan mempertimbangkan tindakan serupa termasuk sekatan visa, menghentikan perdagangan serta melaksanakan embargo senjata terhadap Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Maszlee, mana-mana negara atau syarikat yang terus memberi ruang, senjata atau sokongan kepada Israel boleh dianggap bersubahat dengan jenayah perang dan genosid di bawah prinsip Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Beliau menegaskan, Israel perlu dipinggirkan di peringkat global dan dicatatkan dalam sejarah sebagai pelaku jenayah perang serta genosid.
“Tekanan menyeluruh melalui saluran diplomatik, ekonomi, politik dan undang-undang adalah jalan strategik untuk menghentikan kekejaman ini. Undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan; genosid mesti dihentikan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







