BERITA SEMASA

PBB, OIC dan seluruh dunia digesa bangkit tekan Israel bebaskan semua anggota flotila – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – ⁠Seluruh dunia wajib mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menahan anggota Global Sumud Flotilla (GSF) yang menyertai misi kemanusiaan membawa bantuan ke Gaza.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penahanan mereka membuktikan sekali lagi Israel bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah menghalang bantuan kemanusiaan untuk sampai kepada rakyat yang sedang menderita.

“⁠Tindakan rejim apartheid Zionis ini juga adalah penghinaan kepada masyarakat dunia yang telah bangkit dan berterusan mendesak Israel supaya menghentikan perang ini.

“Saya menggesa agar Amerika Syarikat (AS) yang selama ini melindungi Israel menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk memberi tekanan kepada Israel bagi membebaskan serta membenarkan misi kemanusiaan terus ke Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyeru agar komuniti antarabangsa PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan seluruh dunia bangkit menekan Israel supaya segera membebaskan kesemua anggota flotilla tanpa syarat serta memastikan saluran bantuan ke Gaza tidak lagi diganggu.

“Suara solidariti bersama Palestin tidak akan pernah padam selagi kekejaman Israel tidak dihentikan.

“Marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan sukarelawan Malaysia dan sukarelawan negara lain dilindungi Allah SWT dan seterusnya selamat kembali ke tanah air,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button