Sindiket empat sekawan edar dadah sejak sembilan tahun tumpas
SEPANG – Kegiatan empat sahabat mengedar dadah sejak sembilan tahun lalu akhirnya tewas apabila ditahan polis pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, empat suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 39 tahun ditahan dalam dua serbuan bermula 6 petang hingga 10.50 malam, di sekitar Sepang.
Beliau menambah, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM36,500 dalam serbuan berkenaan.

“Mereka ini dari satu kampung dan sudah berkawan sejak kecil. Pengedaran dipercayai bermula sejak 2016 dan setiap penghantaran mereka sebagai ‘transporter’ dibayar RM1,600,” katanya dalam sidang akhbar pagi ini.
Norhizam turut mendedahkan strategi halus kumpulan pengedar itu yang menggunakan pelbagai kenderaan sewa untuk pengangkutan dan berpindah-randah dari hotel bajet untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Pasangan suami isteri antara mereka sengaja menyewa bilik berlainan untuk mengaburi polis. Modus operandi utama ialah menukar kenderaan sewa bagi mengelirukan pengesanan,” ujar beliau.
Dalam ujian saringan awal air kencing, tiga suspek lelaki didapati positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek wanita bebas sebarang jejak dadah.
Justeru, mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah beliau, seorang suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta satu waran tangkap, seorang lagi pula memiliki lapan rekod lampau termasuk masih dikehendaki pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








