JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota polis parah ditikam ketika rondaan di Pasar Pudu

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis dilaporkan cedera parah selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.55 tengah hari ketika mangsa bersama empat lagi anggota sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dan menikam anggota polis terbabit di bahagian perut sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian segera dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan suspek tidak lama kemudian.

“Suspek merupakan lelaki berbangsa Cina berusia 56 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 21.5 sentimeter serta tiga paket plastik lutsinar yang mengandungi serbuk dan ketulan berwarna kekuningan disyaki dadah,” katanya lagi.

Mohamed Usof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek akan direman bermula Khamis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Firdaus Sharil di talian 012-3388164 atau menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, Pusat Kawalan IPD Wangsa Maju di 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button