BERITA SEMASA

Maritim Malaysia teruskan pencarian anggota ATM hilang di Pulau Mataking

SEMPORNA – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mataking sejak 12 September lalu memasuki hari keempat hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pencarian yang diselaraskan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu dibahagikan kepada 12 sektor meliputi kawasan seluas 115 batu nautika persegi.

“Sejak hari pertama, jumlah keseluruhan kawasan pencarian telah mencecah 312 batu nautika persegi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Maritim Malaysia teruskan pencarian anggota ATM hilang di Pulau Mataking

Antara aset Maritim Malaysia yang terbabit termasuk bot Cenderawasih 9, Banggi 10, Banggi 9, Banggi 11, Adal 18 dan Kilat 52. Operasi turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pasukan penyelam TLDM.

Bagi memperluaskan pencarian, Pengawal Pantai Filipina (Philippine Coast Guard, PCG) turut menjalankan operasi sejak 13 September memandangkan faktor arus dan tiupan angin berkemungkinan membawa mangsa ke perairan negara itu.

Mangsa dikenali sebagai Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, dari Batalion 5 RAMD masih belum ditemui setakat pagi ini.

Menurut Mohd Khairulanuar, usaha pencarian akan diteruskan secara bersepadu dengan memperluaskan radius pencarian dari semasa ke semasa.

“Maritim Malaysia komited memberi sokongan penuh melalui pengoperasian aset laut dan anggota. Harapan kami agar mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau meminta komuniti maritim dan orang awam di sekitar perairan Semporna segera menyalurkan maklumat jika ternampak sebarang petunjuk dengan menghubungi MRSC Kota Kinabalu di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button