Tiada sentuhan fizikal Syamsul Haris dengan jurulatih ATM – Khaled
SERDANG – Tiada sentuhan fizikal antara jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan yang dijalankan adalah secara berulang-alik dari universiti tanpa bermalam di kem, sekali gus menolak dakwaan wujudnya kekasaran fizikal dalam insiden tersebut.
“Kadet itu datang daripada UTM, dia ke program latihan itu pada 28 Julai. Dia tak duduk di kem, dia berulang-ulang di universiti dia UTM pada 28 Julai.
“Jadi yang pertamanya tidak ada sentuhan fizikal oleh jurulatih sebab dia berulang-ulang pagi sampai, dia buat latihan dengan latihan berlaku insiden, dia tak sedar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.
Menurut Mohamed Khaled, siasatan ATM setakat ini hanya melibatkan soal siasat terhadap jurulatih dan pelatih lain yang berada di lokasi kerana Allahyarham sudah dibawa ke hospital pada hari kejadian.
“Jawatankuasa Siasatan ATM pada 29 Julai. Maknanya apabila dilakukan siasatan, tubuh individu itu, arwah itu memang 28 Julai dah bawa ke hospital.
“Jadi siasatan oleh ATM lebih kepada soal siasat jurulatih, soal siasat kadet-kadet ataupun para pelatih yang terlibat,” jelasnya.
Beliau memaklumkan seramai lebih 30 individu telah diambil keterangan memandangkan latihan dijalankan di kawasan terbuka serta disaksikan ramai pelatih lain.
“Jadi kalau katalah berlaku ada kekasaran yang luar biasa, pelajar-pelajar yang ramai-ramai tu dia akan ambil apa-apa (bukti),” ujarnya.
Mohamed Khaled menegaskan, hasil siasatan penuh hanya akan diketahui selepas laporan bedah siasat kedua dikeluarkan.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor pada 28 Julai lalu dan dikebumikan sehari selepas itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.
Pada 19 Ogos, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan bagi menggali semula kubur anaknya untuk membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan prosiding inkues dibuka bagi menyiasat punca kematian.
Bedah siasat kali kedua terhadap jenazah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Ogos lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








