BERITA SEMASA

LIMA’25: Yayasan LTAT, MIGHT perkukuh program LAKSAMANA

LANGKAWI – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).

Pemeteraian MoU itu sekali gus melancarkan kesinambungan Program Latihan Kemahiran Anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Anak Veteran (LAKSAMANA).

Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin berkata, ia juga memperkukuh komitmen pihaknya dalam memperkasa kemahiran teknikal anak-anak warga dan veteran ATM melalui latihan berstruktur serta jaminan penempatan pekerjaan.

“Program LAKSAMANA merupakan inisiatif strategik di bawah kerangka tanggungjawab sosial korporat (CSR) industri pertahanan yang menyasarkan latihan berasaskan pendekatan ‘train and place’ bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerjasama berterusan antara Yayasan LTAT dan MIGHT diyakini dapat melahirkan modal insan yang bersedia menghadapi transformasi era digital dan kecerdasan buatan (AI) sejajar aspirasi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim berkata, MoU kali ini memberi tumpuan kepada pengukuhan aspek peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) mengikut keperluan semasa industri.

“Program ini membuka peluang kepada anak-anak ATM menceburi sektor berintensifkan teknologi seperti minyak dan gas, aeroangkasa, pembuatan, perkapalan dan tenaga,” katanya.

Menurutnya, sejak dimulakan pada 2023, program LAKSAMANA telah melahirkan pelbagai kisah kejayaan dan kini berkembang dengan pendekatan lebih menyeluruh demi manfaat kumpulan sasar.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin; Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; serta Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.

Yayasan LTAT dan MIGHT komited meneruskan inisiatif pembangunan kemahiran berimpak tinggi seperti LAKSAMANA bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor pertahanan dan teknologi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button