BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pempengaruh, adik dihukum penjara, denda buat laporan palsu hilang diri

MUAR – Tindakan seorang pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau lebih dikenali sebagai Ija yang berpura-pura hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong baru-baru ini akhirnya membawa padah apabila dia dan adiknya dijatuhi hukuman penjara sebulan serta denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua beradik terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan membuat laporan palsu berhubung kehilangan Ija, dalam kejadian yang mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran.

Sekiranya gagal membayar denda, Ija, 38, yang bakal menimang cahaya mata kedua boleh dikenakan penjara tambahan tiga bulan, manakala adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, pula akan dikenakan enam bulan penjara tambahan.

Menurut laporan Berita Harian, kedua-duanya membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dua beradik itu bersubahat memberi maklumat palsu kepada penjawat awam di Balai Polis Lenga, pada jam 11.38 malam, 14 Julai lalu, kononnya Ija hilang selepas keretanya ditemui tenggelam dalam Sungai Tui.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 182 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam rayuannya, Nor Hafizah memaklumkan mahkamah bahawa tindakan dilakukan oleh anak guamnya adalah didorong oleh masalah kewangan yang dihadapinya, dan bukan kerana perkahwinan di Thailand seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Ija yang turut diberi peluang untuk merayu, berkata dia amat menyesal dan memohon maaf secara terbuka atas tindakannya.

“Saya sudah menyesal dengan tindakan saya, dan saya tidak mahu dipenjara. Isteri saya sedang hamil enam bulan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Tengku Abdul Aziz membuat laporan polis berhubung kehilangan Ija pada 14 Julai. Kejadian itu mencetuskan usaha SAR oleh pihak berkuasa selepas orang awam menemui sebuah kenderaan dalam sungai yang dikatakan dipandu Ija.

Bagaimanapun, rahsia dua beradik itu terbongkar apabila Ija dikesan masih hidup dan melarikan diri ke Thailand.

Pihak polis mendedahkan bahawa mereka bergerak dari Johor Bahru secara berasingan sebelum Ija menenggelamkan keretanya di Sungai Tui dan meloloskan diri ke negara jiran melalui Padang Besar.

Siasatan turut menemui rekod pergerakan keluar Ija di dalam sistem Jabatan Imigresen serta tiket penerbangan ke Hat Yai bertarikh 17 Julai yang ditempah lebih awal.

Rakaman CCTV turut mengesahkan kelibatnya di Terminal Bas Seremban pada malam 14 Julai, sekali gus mematahkan cerita palsu yang direka bagi menyembunyikan keberadaannya.

Mahkamah memutuskan hukuman berkuat kuasa serta-merta dari tarikh sabitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button