Anggota TUDM hilang selepas keluar beriadah di Batang Kali
KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu selepas beriadah bersama rakan-rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor.
Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Farid Ahmad berkata, mangsa, Ammar Ariffin, 27, yang bertugas di Pangkalan Udara Subang, dipercayai mandi bersama tiga rakannya di lokasi berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang pada 23 Ogos lalu.
“Ketika itu, mangsa sedang mengikuti kursus di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), Bandar Kinrara. Kali terakhir dia dilihat ialah selepas selesai mandi, sebelum mereka masing-masing beredar menaiki kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, rakan sebilik Ammar cuba menghubunginya pada pukul 6 petang, 24 Ogos, namun tidak berjaya kerana telefonnya didapati dimatikan.
Laporan polis mengenai kehilangan itu dibuat seorang pegawai tentera udara dari INSMAT pada pukul 4.15 petang, 25 Ogos, selepas Ammar gagal melaporkan diri seperti sepatutnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Sukri Che Mat di talian 03-8076 2222 atau 03-8071 3136.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








