Mangsa kereta terjunam ke Sungai Panchor ditemui
MUAR – Misteri kehilangan seorang lelaki selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor, di sini petang semalam, terungkai apabila mangsa ditemui meninggal dunia awal pagi tadi.
Mangsa, Mud Husni Mahmud, 47, ditemui di dalam keretanya selepas kenderaan itu berjaya dinaikkan pasukan penyelamat menggunakan kren sekitar jam 1 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Nor Alfatah Omar berkata, kenderaan tersebut dikesan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing dengan kedalaman 15 meter, sekitar jam 10.21 malam.
“PPDA melakukan selaman pertama pada jam 5.50 petang menggunakan teknik arch pattern, diikuti selaman kedua sejam kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mengesahkan terdapat sebuah kereta yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dasar sungai sedalam kira-kira 12 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal saksi mendapati terdapat seorang lelaki di dalam kenderaan berkenaan, dan operasi pencarian dijalankan menggunakan bot serta teknik surface searching.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada jam 1.38 pagi.
Seramai 20 anggota dari beberapa balai termasuk BBP Pagoh, BBP Muar dan BBP Skudai terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan dua bot fiber serta beberapa jentera sokongan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








