BERITA SEMASA

‘Tanya ChatGPT, semua keluar’ – Nazir jawab persoalan pekerjaan, perniagaan dijalankan

KUALA LUMPUR – “Tanya ChatGPT, semua keluar.”

Itu jawapan ringkas bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika ditanya mengenai pekerjaan, jumlah syarikat dimiliki serta jenis perniagaan yang dijalankannya.

Menjawab soalan mengenai bidang perniagaan yang diceburinya, Nazir berkata, beliau mempunyai pelbagai jenis perniagaan dan maklumat mengenainya boleh diperoleh dengan mudah menerusi ChatGPT.

“Kita ada banyak jenis perniagaan. Tanya ChatGPT, semua keluar.

“Macam-macam berniaga. Jadi saya cuma nak beritahu, bila kita buat sebegini rupa, imej perniagaan terlalu teruk. Jadi kita tengah fikir apa yang patut,” katanya pada sidang media berhubung isu tuduhan penyelewengan RM10 juta dana Yayasan Bank Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut ditanya mengenai jumlah harta dimiliki susulan kenyataan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, jumlah harta yang disebut SPRM itu mungkin lebih rendah daripada nilai sebenar yang dimilikinya.

“Berapa jumlah harta itu macam SPRM cakap kot, mungkin kurang, patut lebih,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pekerjaannya, Nazir sekali lagi mengarahkan persoalan berkenaan dirujuk kepada ChatGPT.

“Saya kerja apa, senang saja. Tanya ChatGPT keluar semua, berapa banyak syarikat saya ada, saya duduk sebagai apa. Itu senang saja.

“Soalan itu tanya ChatGPT saja, tak payah saya jawab,” katanya.

Nazir sebelum ini tampil menjelaskan kedudukannya berhubung dakwaan penyelewengan dana RM10 juta Yayasan Bank Rakyat, termasuk menafikan wang berkenaan lesap atau diseleweng.

Beliau mendakwa pelaburan berkenaan sebaliknya menghasilkan hibah RM1.85 juta sepanjang tempoh pelaburan serta dibuat mengikut proses tadbir urus yang sewajarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button