BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tahan 73 individu, bongkar tuntutan palsu Daya Kerjaya 2.0 bernilai RM9 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta menerusi Op Daya yang dilaksanakan di seluruh negara baru-baru ini.

Dalam operasi itu, seramai 73 individu terdiri daripada ejen dan pemilik syarikat ditahan reman kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif penggajian yang disediakan kerajaan.

Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan 48 lelaki dan 25 wanita berusia antara 20 hingga 70-an ditahan di pejabat-pejabat SPRM seluruh negara kecuali Perlis pada petang dan malam Selasa lalu.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.

“Mereka disyaki membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian kerajaan sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan bagi setiap pekerja yang kononnya diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut sumber, operasi bersepadu yang dijalankan pada 9 Jun lalu melibatkan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM, SPRM negeri-negeri serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam operasi itu, penggeledahan dilakukan di 90 premis syarikat di seluruh negara dan membawa kepada penahanan 83 individu terdiri daripada enam ejen serta 77 pemilik syarikat.

Antara suspek sindiket pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta menerusi Op Daya yang dilaksanakan di seluruh negara baru-baru ini.

Katanya, risikan yang dijalankan sejak November tahun lalu menyasarkan 143 premis syarikat dengan 320 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan tuntutan berkenaan.

“SPRM turut merakam sebanyak 104 percakapan membabitkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi.

“Selain itu, sebanyak 25 akaun bank syarikat yang mengandungi kira-kira RM390,000 telah dibekukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button