Bazar Ramadan jadi medium MCMC sebar kesedaran keselamatan dalam talian
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memanfaatkan penganjuran bazar Ramadan di 19 lokasi di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian.
Menerusi penganjuran Kempen Internet Selamat (KIS) @ Bazar Ramadan 2026, MCMC mengambil pendekatan turun padang bagi memastikan kesedaran mengenai keselamatan Internet dapat disampaikan kepada lebih ramai pihak.
Selain penyampaian kit Ramadan dan risalah, kempen tersebut turut diserikan dengan penganjuran pelbagai aktiviti termasuk sesi interaktif berkaitan keselamatan Internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa serta program bersama pengunjung bazar.
Di ibu negara, penganjuran KIS@Bazar Ramadan diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan pegawai MCMC yang turut mengagihkan 500 kit Ramadan di bazar Ramadan IWK Eco Park Pantai Dalam yang mengandungi risalah kempen kepada pengunjung bagi memperluas pemahaman mengenai keselamatan dalam talian.
Fahmi ketika ditemui kemudian berkata, kempen sedemikian akan diperluaskan pelaksanaannya ke bazar Ramadan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan internet secara berhemah dan selamat.
Sementara itu, di PAHANG, sambutan pengunjung terhadap kempen berkenaan di Bazar Ramadan Tasik Abu Bakar, Pekan amat menggalakkan apabila reruai MCMC mula diserbu orang awam seawal 4 petang.
Pengarah Kanan MCMC (Wilayah Timur), Mohd Fairus Mohamad berkata, kempen itu dapat memberi pendedahan terus kepada masyarakat berkaitan risiko penyalahgunaan Internet seperti penipuan dalam talian, buli siber dan penyebaran berita palsu berbanding hanya fokus kepada pelajar sebelum ini.
Selain lokasi di atas, KIS@Bazar Ramadan turut dianjurkan di Kuala Terengganu (Terengganu), Shah Alam (Selangor), Kota Bahru (Kelantan), Meru Raya (Perak), Ayer Keroh (Melaka) dan Arau (Perlis).
Kempen sama turut diadakan di bazar Ramadan di Bertam Putra (Pulau Pinang), Metropark Sendayan (Negeri Sembilan), Kuching (Sarawak), Tawau (Sabah) dan juga di Kulai (Johor).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








