Enam bekas Ketua Bahagian BERSATU buat laporan kepada ROS
PUTRAJAYA – Enam bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini tampil membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) susulan pemecatan mereka yang didakwa tidak sah serta bercanggah dengan Perlembagaan parti.
Mereka ialah Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustaffa; Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Mohd Shukor dalam satu sidang media ringkas memaklumkan, mereka hadir ke RoS bagi membuat aduan serta menggesa siasatan dijalankan ke atas pemecatan tersebut.
Beliau mendakwa, keputusan pemecatan yang dibuat Lembaga Disiplin parti pada 13 Oktober tahun lalu tidak mematuhi tatacara disiplin yang sewajarnya, termasuk menafikan hak rayuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Bersatu.
Menurut beliau, walaupun surat pemecatan menyatakan bahawa ahli boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari, nama mereka telah terlebih dahulu dikeluarkan daripada senarai keahlian parti.
“Kalau keahlian kami sudah dibatalkan, bagaimana rayuan boleh dibuat? Dalam keadaan rayuan itu, kami sepatutnya masih dianggap sebagai ahli. Tindakan ini jelas pelik dan menimbulkan persoalan besar dari sudut kesahihan pemecatan,” katanya, hari ini.
Beliau turut mendakwa, proses pemecatan itu tidak memenuhi prinsip keadilan yang mana mereka tidak dimaklumkan butiran kesalahan secara khusus.
“Surat pemecatan (yang kami terima) hanya merujuk kepada fasal umum dalam Perlembagaan tanpa menjelaskan kesalahan sebenar yang didakwa kami lakukan,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Faizal mendakwa bahawa pemecatan tersebut bersifat terancang dan selektif, memandangkan kebanyakan yang terlibat adalah bekas Ketua Bahagian serta ia berlaku ketika parti berdepan Pilihan Raya Negeri Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








