Muhyiddin nafi belanja RM500 juta publisiti, pengiklanan kerajaan PN
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya telah membelanjakan RM500 juta bagi kontrak publisiti dan pengiklanan.
Pengerusi PN itu berkata, dakwaan itu juga merupakan satu pembohongan.
“Ingin saya tegaskan ini adalah suatu pembohongan kerana jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023 menyatakan bahawa Kerajaan PN hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan.
“Sedangkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang tidak sampai setahun memerintah pada ketika itu berbelanja sebanyak RM489, 216.
“Jawapan bertulis itu juga menyebut Kerajaan Keluarga Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM62 juta bagi tujuan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Presiden BERSATU itu berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan hanya satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran kerajaan PN memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
“Saya mentadbir negara ketika COVID-19 melanda. Seingat saya penggunaan papan iklan besar, televisyen dan radio pada masa itu adalah untuk menyampaikan pesanan-pesanan mengenai bahaya COVID-19, maklumat berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan untuk rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















