Gelaran ‘Dr’ hanya boleh digunakan sekiranya berdaftar sebagai pengamal perubatan – MMC
CYBERJAYA – Penggunaan gelaran ‘Dr’ tidak memberi hak kepada individu untuk menjadi seorang pengamal perubatan di negara ini sekiranya tidak berdaftar sebagai seorang pengamal perubatan.
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menegaskan, kebenaran untuk mengamalkan perubatan adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya.
“Bagi graduan perubatan yang memperoleh kelayakan daripada program perubatan yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, pertimbangan bagi tujuan pendaftaran untuk menjalankan amalan perubatan adalah tertakluk kepada keperluan ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.
“Ini termasuk lulus peperiksaan yang ditetapkan serta menjalani latihan siswazah di hospital latihan siswazah yang diiktiraf di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan sama turut menyebut, gelaran berkenaan bukan eksklusif kepada pengamal perubatan saja kerana ia juga turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik.
“Sebagai prinsip umum, semua individu yang ingin mengamal perubatan di negara ini hendaklah berdaftar dengan MMC dan memegang sijil Perakuan Amalan Tahunan (PAT) yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan,” katanya lagi.
Justeru, orang awam digalakkan untuk membuat semakan status pendaftaran mana-mana pengamal perubatan melalui Medical Register Information and Technical System (MeRITS).
“Sebarang keraguan atau aduan berkaitan kemungkinan penyamaran atau salah guna gelaran boleh disalurkan kepada admin.mmc@moh.gov.my.
“MMC komited untuk melindungi keselamatan pesakit dan memastikan masyarakat menerima perkhidmatan kesihatan hanya daripada pengamal perubatan yang benar-benar layak dan berdaftar,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








