
AirAsia rangkul gelaran syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat tahun ke-16 berturut-turut
PARIS – Syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka negara, AirAsia, sekali lagi mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat tahun ke-16 berturut-turut.
Pengiktirafan berprestij di Anugerah Skytrax World Airline 2025 itu mengukuhkan lagi kedudukan AirAsia sebagai jenama penerbangan kos rendah yang paling dipercayai dan disegani bukan sahaja di rantau Asia, malah di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Capital A merangkap Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian luar biasa yang berakar dari impian murni untuk menjadikan penerbangan lebih mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Kemenangan selama enam belas tahun berturut-turut ini masih cukup bermakna buat kami.
“Ia bukan sahaja pengiktirafan kepada jenama, tetapi kepada jutaan penumpang yang sentiasa memilih kami sebagai syarikat penerbangan pilihan mereka,” katanya ketika menerima anugerah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes pula melahirkan rasa terharu atas kepercayaan pelanggan serta semangat kakitangan AirAsia yang digelar ‘Allstars’ dalam membina semula syarikat selepas pandemik.
“Daripada membawa hanya 200,000 penumpang pada tahun pertama, kini kami menyasarkan satu bilion penumpang pada tahun ini. Pencapaian ini adalah milik Allstars dan tenaga kerja kami yang tidak pernah kenal erti putus asa,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted, turut mengucapkan tahniah kepada AirAsia atas pencapaian cemerlang itu yang menurutnya membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dengan harga berpatutan.
Beliau berkata, anugerah ini adalah hasil kaji selidik melibatkan 22.3 juta penyertaan sah daripada pelanggan pelbagai kewarganegaraan, yang berlangsung dari September 2024 hingga Mei 2025.
“Sebanyak 325 syarikat penerbangan dinilai, tanpa sebarang bayaran penyertaan dikenakan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, AirAsia juga terus diiktiraf atas peranannya dalam menghubungkan destinasi utama serta bandar kedua dan ketiga yang kurang diberi perhatian.
“Laluan seperti Kuala Lumpur-Labuan Bajo, Bangkok-Narathiwat, Manila-Tagbilaran dan Jakarta-Silangit menjadi antara bukti komitmen mereka membuka koridor baharu pelancongan serantau,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, AirAsia terus memberi tumpuan terhadap pengalaman penumpang melalui peningkatan perkhidmatan digital, keselesaan dalam penerbangan serta kecekapan operasi.
Syarikat itu kini dinobatkan sebagai jenama syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia dengan nilai mencecah USD1.93 bilion, membuktikan pengaruh kukuhnya di peringkat global.
Dengan perancangan memperluaskan rangkaian ke Asia Tengah dan Timur Tengah, AirAsia dilihat semakin hampir untuk menjadi syarikat penerbangan tambang rendah global pertama dunia, sejajar dengan aspirasi mereka membina masa depan perjalanan udara yang lebih inklusif dan mampu milik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















