BERITA SEMASALUAR NEGARASUKAN

Conor McGregor digantung 18 bulan langgar dasar anti-doping UFC

DUBLIN – Bintang seni bela diri campuran (MMA) dari Ireland, Conor McGregor, digantung selama 18 bulan selepas melanggar dasar anti-doping Pertubuhan Seni Bela Diri Campuran Ultimate Fighting Championship (UFC).

Menurut kenyataan Combat Sports Anti-Doping (CSAD), McGregor, 37, gagal menjalani tiga ujian pengambilan sampel biologi dalam tempoh 12 bulan pada tahun 2024.

Dasar antidoping UFC menetapkan bahawa setiap atlet perlu mengemukakan maklumat lokasi yang tepat pada setiap masa bagi membolehkan mereka dihubungi dan menjalani ujian tanpa sebarang notis.

McGregor, yang tidak bertarung secara profesional sejak mengalami patah kaki ketika menentang Dustin Poirier pada Julai 2021, dilaporkan gagal menjalani ujian pada 13 Jun, 19 September dan 20 September tahun lalu.

CSAD menjelaskan, penggantungan itu dikurangkan daripada 24 bulan kepada 18 bulan selepas McGregor memberikan kerjasama penuh dan maklumat terperinci sepanjang siasatan dijalankan, selain mengambil kira keadaan kecederaannya.

Menurut kenyataan di laman rasmi UFC, McGregor telah mengakui kesilapan dan bertanggungjawab sepenuhnya, manakala tempoh penggantungannya bermula pada 20 September 2024, iaitu tarikh kegagalan ketiganya direkodkan dan akan berakhir pada 20 Mac 2026.

Sebelum ini, McGregor mendakwa telah menandatangani kontrak untuk bertarung dalam kad pertarungan UFC di Rumah Putih pada 14 Jun 2026, bersempena ulang tahun ke-80 Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Namun, Presiden UFC, Dana White, menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan tiada sebarang rundingan rasmi dijalankan.

“Saya sudah jelaskan bahawa Conor memang mahu bertarung dalam kad itu dan dia bersemangat untuk kembali, tetapi tiada sebarang perbincangan rasmi dengan Rumah Putih ketika ini,” katanya.

Kelmarin, McGregor turut memaklumkan kepada pengikut media sosialnya bahawa dia akan berehat sementara daripada semua platform media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button