Semangat kesatuan pacu prestasi 34 pasukan futsal rebut Piala Ketua Pengarah MARA
BATU CAVES – Semangat kesatuan organisasi menjadi pemacu utama apabila 34 pasukan dari seluruh negara berentap dalam Kejohanan Futsal Piala Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Timbalan Ketua Pengarah MARA, Zahari Aziz yang menyempurnakan penyampaian hadiah memuji komitmen tinggi setiap pasukan sepanjang kejohanan yang berlangsung di SLK Sport Center pada 10 hingga 11 April lalu itu.
“Kejohanan Futsal Piala Ketua Pengarah MARA menjadi pencetus momentum terbaik menjelang temasya sukan MARA pada Ogos nanti,” menurut kenyataan Kelab Sukan dan Rekreasi MARA di Facebook.
Menurut kenyataan itu, sorakan padu, disiplin taktikal serta aksi pantas yang dipamerkan jelas mencerminkan kekuatan setiap kontinjen dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu veteran lelaki, terbuka lelaki dan wanita.
Presidennya, Zairul Amri Adam menegaskan kejohanan tersebut bukan sekadar medan perebutan kejuaraan, malah platform strategik untuk mengumpul mata awal serta menyemarakkan semangat berpasukan dalam kalangan warga MARA.
Dalam kategori veteran lelaki, MARA Negeri Kelantan muncul juara, diikuti MARA Negeri Perak selaku naib juara dan MARA Negeri Johor di tempat ketiga.
Bagi kategori terbuka lelaki, MARA Negeri Kedah menampilkan aksi konsisten untuk bergelar juara, manakala MARA Negeri Kelantan menduduki tempat kedua dan MARA Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat ketiga.
Sementara itu, kategori wanita menyaksikan dominasi MARA Negeri Terengganu yang menjuarai saingan, diikuti MARA Negeri Pulau Pinang di tempat kedua dan MARA Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat ketiga.
Kesemua keputusan itu turut menyumbang pungutan mata penting dalam menentukan kedudukan keseluruhan bagi Kejohanan Sukan MARA Se-Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








