BERITA SEMASASUKAN

Manchester United lantik Carrick sebagai pengurus sementara hingga akhir musim

MANCHESTER – Manchester United engumumkan pelantikan Michael Carrick sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim, dengan misi utama membawa semula kelab gergasi England itu ke saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas tiga musim tersisih daripada kejuaraan itu.

Carrick, 44, yang pernah memenangi 12 trofi utama sepanjang 12 tahun bergelar pemain Manchester United, menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.

“Memimpin Manchester United adalah satu penghormatan. Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di sini.

“Fokus saya kini ialah membantu pemain mencapai standard yang kami jangka di kelab luar biasa ini, kerana kami tahu pasukan ini mampu melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pemain tengah England itu bakal berdepan ujian getir dalam penampilan sulungnya sebagai pengurus apabila United menentang musuh setempat, Manchester City, dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad ini.

Ketika ini, United berada di tangga ketujuh liga, tiga mata di belakang Liverpool yang menghuni tempat keempat, serta satu mata di belakang Brentford di kedudukan kelima.

Empat kedudukan teratas liga akan melayakkan pasukan ke Liga Juara-Juara Eropah, manakala tempat kelima juga berpotensi mencukupi berikutan prestasi cemerlang kelab-kelab England dalam kejohanan Eropah musim ini.

Pelantikan Carrick dilakukan susulan pemecatan Ruben Amorim minggu lalu, sekali gus menamatkan tempoh 14 bulan yang mengecewakan buat jurulatih dari Portugal itu di Old Trafford.

Carrick memulakan kariernya sebagai pemain bersama West Ham dan Tottenham sebelum menyertai Manchester United.

Sepanjang bersama Red Devils, beliau membantu kelab itu menjulang lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button