BERITA SEMASA

Mangsa tanah runtuh di Papar terima bantuan Skim Pemberian Ehsan

PAPAR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menziarahi keluarga mangsa tragedi tanah runtuh dan banjir yang berlaku di Kampung Marahang dan Kampung Mook, di sini semalam. 

Dalam lawatan itu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menyampaikan bantuan menerusi Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa Bencana (PEKA) YKN kepada 10 keluarga yang terlibat.

Menurut Nancy, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berada di lapangan sejak hari pertama bencana bagi menyalurkan bantuan segera.

“Saya memilih untuk turun selepas banjir reda kerana fasa pasca banjir ini sama pentingnya.

“Pada waktu inilah mangsa amat memerlukan sokongan untuk membersihkan rumah, membina semula kehidupan serta kembali kepada rutin harian mereka. Saya mahu mereka merasakan bahawa mereka tidak pernah ditinggalkan sendirian selepas bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menziarahi keluarga mangsa tragedi tanah runtuh dan banjir yang berlaku di Kampung Marahang dan Kampung Mook. 

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron.

Dalam pada itu beliau menegaskan kementerian dan YKN sentiasa peka dengan nasib keluarga mangsa, serta berharap bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban mereka.

Selain sumbangan PEKA, YKN turut menyalurkan bakul makanan berisi keperluan asas serta beg makanan kepada keluarga terjejas.

“Mangsa turut menerima barangan keperluan daripada JKM dan Yayasan Sime Darby.

Sementara itu, YKN dalam kenyataan turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu, pihak swasta dan korporat bagi menjayakan usaha membantu kumpulan sasar yang memerlukan.

Katanya, setiap sumbangan layak menerima resit pengecualian cukai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button