
DNB diarah kemuka pelan perniagaan minggu depan
Susulan kelewatan projek rangkaian 5G kedua
PUTRAJAYA – Digital Nasional Bhd (DNB) diarah untuk mengemukakan pelan perniagaannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), minggu depan.
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata, DNB diarahkan berbuat demikian susulan kelewatan projek rangkaian 5G kedua.
“DNB memohon (tempoh) sehingga Januari tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya diberikan pada bulan ini juga.
“DNB bukan bawah Kementerian Komunikasi jadi saya tidak terlibat tapi bagi MCMC yang diketengahkan adalah keperluan bagi kedua-dua rangkaian,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Menurutnya, mesyuarat sama turut meminta supaya MyDigital ID mengemukakan langkah bagi meningkatkan jumlah pendaftaran pengguna dalam tempoh dua minggu.
“Setakat Khamis (semalam), pendaftaran MyDigital ID mencecah 1.319 juta,” jelas Fahmi.
Fahmei menjelaskan, isu MyDigital ID berkait langsung dengan keperluan untuk melipatkandakan usaha supaya pendaftaran dapat ditingkatkan.
“Satu keputusan akan dibuat mengenai apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah pengguna dan mereka yang telah mendaftar bagi sistem MyDigital ID,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri difahamkan menzahirkan kemarahannya dengan kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G dalam satu mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Ke-4 (MED4IRN) sehari sebelumnya.
Jelas Fahmi, Anwar dalam mesyuarat Kabinet hari ini sekali lagi memohon maaf kepada barisan Jemaah Menteri di atas penzahiuran kemarahan beliau itu.
“Beliau menjelaskan kenapa memohon maaf kerana beliau merasakan seperti dalam bahasa Inggeris disebut ‘very out of character’ (di luar karakter).
“Dan puncanya adalah beliau merasakan bahawa dua-dua inisiatif MyDigital ID dan DNB ini seharusnya bergerak dengan lebih pantas,” kata Fahmi lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








