MyDigital ID jalin kerjasama dengan 15 institusi kewangan perkukuh pengesahan identiti digital
KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengekang lonjakan kes penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan, My Digital ID Sdn Bhd hari ini memeterai kerjasama strategik bersama 15 institusi kewangan dan syarikat fintech bagi memperkukuh sistem pengesahan identiti digital negara.
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) itu berlangsung dalam acara ‘Memorandum Persefahaman MyDigital ID bersama Institusi Kewangan, E-Dompet dan Fintech’ yang menghimpunkan pemain industri utama untuk meningkatkan tahap keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan kewangan digital.
Antara rakan kerjasama terlibat ialah Maybank, CIMB Bank, Public Bank, RHB Bank, Hong Leong Bank, AmBank, Bank Islam, Boost Bank, KAF Digital Bank, Ryt Bank, Touch ’n Go Digital, ShopeePay, Atome, Kale (Technology (PayLater)) dan Finexus.
Melalui kerjasama itu, teknologi e-pengesahan MyDigital ID akan diuji dan dilaksanakan dalam sistem pendaftaran pelanggan (onboarding) serta proses pengesahan transaksi institusi terlibat.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah kritikal dalam memperkukuh lapisan keselamatan digital negara, khususnya dalam sektor kewangan yang menjadi sasaran utama penjenayah siber.

“Apabila pengesahan identiti menjadi lebih kukuh dan diyakini, akaun palsu akan lebih sukar diwujudkan, penyamaran identiti dapat dibendung dan pengesanan penipuan menjadi lebih tepat.
“Ini bukan sekadar pertukaran MoU, tetapi satu langkah besar melindungi rakyat Malaysia dalam era digital,” katanya.
MyDigital ID merupakan satu-satunya platform di Malaysia yang mengesahkan identiti secara langsung dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai sumber rujukan tunggal (single source of truth) secara masa nyata.
Keupayaan itu memberikan tahap keyakinan lebih tinggi kepada institusi kewangan dalam proses pembukaan akaun, transaksi digital dan penyediaan perkhidmatan kritikal lain.
Sementara itu, dalam ucapannya, Megat Zuhairy mendedahkan peningkatan mendadak kes penipuan kewangan dalam talian.
Menurut beliau, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,812 kes penipuan e-kewangan direkodkan pada 2024 sebelum melonjak kepada 5,159 kes pada 2025, peningkatan sebanyak 185 peratus dalam tempoh setahun.
“Lebih membimbangkan ialah impak kewangan. Kerugian meningkat daripada RM65.5 juta pada 2024 kepada RM458.7 juta pada 2025 iaitu lonjakan hampir 600 peratus.
“Secara purata, rakyat Malaysia kini kehilangan sekitar RM38.2 juta setiap bulan akibat penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kelemahan utama yang dieksploitasi penjenayah siber adalah jurang dalam pengesahan identiti digital yang terpecah dan tidak seragam.
“Selagi identiti digital kekal rapuh dan berpecah, penjenayah akan terus mencari ruang untuk menembusi sistem. Justeru, platform identiti digital yang selamat dan dipercayai di peringkat nasional adalah keperluan mendesak,” katanya.
Kerjasama terbaharu itu turut menyokong pelan tindakan strategik Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mempercepat pendigitalan sektor kewangan di samping mendukung aspirasi negara ke arah ekonomi digital yang selamat, berdaya tahan dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Seiring perkembangan pesat perkhidmatan digital, pengguna bukan sahaja mahukan pengalaman kewangan yang pantas dan lancar tetapi juga jaminan perlindungan data serta keselamatan yang kukuh dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















