MyDigital ID benteng banteras jenayah penipuan dalam talian
KUALA LUMPUR – MyDigital ID mampu menjadi benteng baharu dalam usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian yang semakin canggih dan kompleks.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa, pihaknya telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan MyDigital ID bagi membincangkan pelaksanaan platform tersebut dalam urusan perbankan dan kewangan.
“Kita percaya bila menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, ia akan menjadi salah satu yang boleh menghalang scam daripada berlaku,” katanya pada program Majlis Penghargaan Bank Heroes #jangankenascam, di sini hari ini.
MyDigital ID dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang sukar dipalsukan oleh sindiket penipuan sekali gus mampu mengurangkan risiko penyamaran identiti dan kebocoran maklumat peribadi.
“Kita sangat-sangat percaya ciri-ciri keselamatan yang ada padanya sukar ditiru scammer dan boleh menjadi satu mekanisme yang berkesan untuk mencegah penipuan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, integrasi MyDigital ID dengan sistem Kenali Pelanggan Anda (KYC) perbankan, akan membantu usaha membanteras penipuan dengan lebih berkesan.
Syed Ahmad Taufik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank bagaimanapun berkata, tiada garis masa khusus bagi pelaksanaan itu, memandangkan setiap bank mempunyai perancangan tersendiri dalam mengadaptasi serta meneroka teknologi berkenaan.
Terdahulu, seramai 68 pegawai bank diraikan atas kejayaan mengesan dan menggagalkan cubaan penipuan, yang secara kolektif berjaya menyelamatkan dana pelanggan berjumlah RM139 juta sepanjang tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















