MyDigital ID log masuk tunggal aplikasi MyJPJ dan MyBayar PDRM
PUTRAJAYA – Orang ramai disarankan segera mendaftar MyDigital ID bagi memastikan urusan lebih lancar apabila kaedah log masuk tunggal (Single Login) ke platform perkhidmatan kerajaan mula dikuatkuasakan sepenuhnya tidak lama lagi.
Buat masa ini, dua platform utama yang telah diintegrasikan dengan MyDigital ID ialah MyJPJ dan MyBayar PDRM.

Walaupun pengguna masih boleh memilih untuk masuk menggunakan kata laluan sedia ada, namun sebaik sahaja pelaksanaan log masuk tunggal bermula, akses kepada kedua-dua platform ini hanya boleh dilakukan melalui MyDigital ID.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, penggunaan identiti digital itu akan membuka lembaran baharu dalam urusan pengesahan digital negara kerana ia lebih mudah, selamat dan telus.
Katanya, pengesahan dibuat terus melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa menyimpan sebarang maklumat peribadi pengguna.
“MyDigital ID menjanjikan kemudahan maksimum dengan tahap keselamatan tinggi, sekali gus mempercepatkan transformasi digital negara secara inklusif dan berdaya tahan,” jelas beliau dalam kenyataan, hari ini.
Sebagai tambahan, MyDigital ID kini menawarkan ciri pengesahan biometrik tempatan, membolehkan pengguna log masuk dengan lebih pantas menggunakan cap jari atau pengecaman wajah pada peranti masing-masing.

Ciri baharu itu diyakini mampu memudahkan pengguna, khususnya mereka yang sering terlupa kata laluan.
Setakat ini, lebih 3 juta pengguna telah berdaftar dengan MyDigital ID, manakala lebih 45 platform kerajaan dan swasta dalam talian sudah pun diintegrasikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








