BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Malaysia perkukuh pertahanan siber, integrasi MyDigital ID mula dilaksana esok

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia bakal menikmati tahap keselamatan digital yang lebih kukuh bermula esok susulan pelaksanaan integrasi teknologi pengesahan identiti MyDigital ID oleh semua syarikat telekomunikasi ke dalam aplikasi mudah alih masing-masing.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, pelaksanaan itu mungkin berbeza antara penyedia perkhidmatan.

Ketua Eksekutif NACSA
Ketua Eksekutif NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin. 

“Ada yang memulakan dengan satu komponen dahulu, ada yang melaksanakan dua, manakala kesemua tiga komponen akan dilaksana secara berperingkat.

“Walau apapun gabungannya, matlamat inisiatif ini tetap sama iaitu memastikan penjenayah tidak lagi dapat menyeleweng kad SIM yang tidak disahkan sebagai laluan kegiatan jenayah mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, MyDigital ID memainkan peranan penting kerana proses pengesahan identitinya merujuk terus kepada rekod rasmi Kerajaan yang diselia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Inisiatif yang membabitkan pelbagai pemegang taruh ini turut memperkukuhkan pelaksanaan Pelan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030 yang diterajui NACSA, bagi memastikan ekosistem siber negara kekal selamat dan berdaya tahan daripada ancaman semasa dan akan datang.

“Kami amat menghargai bantuan MCMC dalam mempermudah cara dan menyelaras inisiatif nasional ini,” katanya.

Inisiatif nasional itu bertujuan melindungi pengguna daripada panggilan scam, penyamaran identiti dan penipuan yang sering berlaku melalui penggunaan nombor SIM yang tidak disahkan atau disalahgunakan.

Ini bagi memastikan setiap nombor telefon mudah alih dipadankan kepada identiti yang sah dan dipercayai.

MyDigital ID
Gambar hiasan MyDigital ID.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, nombor telefon sering disalahguna untuk jenayah scam dan penipuan identiti.

“Malah, laporan berita pada awal tahun ini menunjukkan bahawa jumlah panggilan scam pada 2024 mencecah 2.98 juta iaitu hampir dua kali ganda berbanding 1.63 juta pada 2023.

“Dengan menggunakan identiti digital yang sah, kita dapat mengurangkan risiko jenayah sebegini, memperkukuh kepercayaan digital dan meningkatkan keselamatan, di samping mengurangkan ketirisan dalam ekonomi digital,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya juga menyedari privasi dan keselamatan data adalah kebimbangan utama pada masa kini.

“Ada yang bimbang identiti digital boleh digunakan untuk memantau, menjejak atau menyimpan maklumat peribadi mereka.

“Hakikatnya, MyDigital ID tidak berfungsi sebegitu. la tidak menyimpan data pengguna, menjejak aktiviti dalam talian atau mengumpul maklumat baharu.

“Peranannya hanya untuk mengesahkan identiti seseorang apabila mereka memilih untuk log masuk ke sesuatu perkhidmatan.

“Semua ini dilakukan hanya dengan persetujuan dan kawalan penuh pengguna. Prinsip kami mudah iaitu data anda adalah milik anda. Sentiasa. Dan dengan MyDigital ID, ia kini lebih selamat berbanding sebelumnya,” tegas beliau.

Dengan sokongan NACSA dan diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), langkah itu merangkumi tiga komponen utama iaitu:

1. Pengesahan Nombor Prabayar Sedia Ada (Whitelisting)

Pengguna boleh menyemak semua nombor prabayar yang berdaftar di bawah nombor MyKad mereka bagi mengesahkan bahawa nombor-nombor tersebut benar-benar milik pengguna.

Langkah ini mampu menghalang penjenayah daripada menyalahguna nombor yang didaftarkan menggunakan MyKad yang dicuri atau tanpa pengetahuan pemilik.

2. Pendaftaran Kad SIM Baru

Semua kad SIM prabayar baru dibeli perlu disahkan melalui aplikasi syarikat telekomunikasi menggunakan MyDigital ID.

Ini bagi memastikan nombor baru tidak boleh diaktifkan menggunakan maklumat pengenalan milik orang lain.

3. Log Masuk MyDigital ID ke Aplikasi Syarikat Telekomunikasi

Pengguna boleh memilih untuk log masuk ke aplikasi syarikat telekomunikasi mereka menggunakan MyDigital ID.

Pilihan ini memberikan kaedah log masuk yang lebih selamat sekali gus dapat membantu mencegah pengambilalihan akaun, phishing dan akses tanpa kebenaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara penggunaan MyDigital ID mengikut syarikat telekomunikasi masing-masing, pengguna dinasihatkan untuk merujuk dan melayari laman web penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang dilanggan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button