BERITA SEMASA

Portal STR kini boleh diakses menggunakan MyDigital ID – LHDN

CYBERJAYA – Pemohon dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini boleh mengakses portal STR menggunakan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) bagi semakan dan permohonan baharu STR mulai 1 Mac 2025.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kelebihan MyDigital ID sebagai pemudah cara utama dalam urusan digital rakyat dan berfungsi sebagai paksi kepada transformasi digital negara.

“MyDigital ID merupakan identiti tunggal rakyat Malaysia dalam mengakses sistem-sistem yang disediakan oleh agensi kerajaan.

“Seiring pengenalan tersebut, LHDN mula menggunakan MyDigital ID sebagai pilihan Single Sign On (SSO) untuk Sistem Percukaian MyTax LHDN (MyTax) dan Sistem Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (MySTR),” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Tambahnya, penggunaan MyDigital ID sebagai pilihan SSO untuk sistem MyTax merupakan kemudahan pertama yang dibangunkan oleh LHDN dan telah mula dilaksanakan sejak 1 Januari 2025 bagi fungsi carian Nombor TIN (Tax Identification Number).

“BUat masa ini, seramai 578,828 orang pengguna telah menggunakan MyDigital ID untuk mengakses perkhidmatan MyTax bagi carian Nombor TIN.

“Data ini menunjukkan tanda positif serta penerimaan pengguna terhadap kelebihan MyDigital ID yang dipercayai, selamat dan efisien digunakan,” kata LHDN lagi.

Dianggarkan seramai 9,665,476 pengguna portal STR bakal menggunakan kemudahan ini dan LHDN menjangkakan jumlah pengguna akan bertambah seiring dengan permohonan STR yang dibuka sepanjang tahun.

“LHDN bagaimanapun ingin menasihatkan pengguna atau pemohon bahawa mereka masih boleh menggunakan kedua-dua ID iaitu MySTR atau MyDigital ID bagi mengakses portal STR menerusi pautan
https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mempunyai sebarang pertanyaan, dijemput menghubungi LHDN menerusi Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara); Live Chat (di portal MyTax); dan menerusi Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button