BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

PM adakan pertemuan bersama MB, KM esok bincang cabaran semasa negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, esok bagi membincangkan kesan krisis Asia Barat terhadap negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu bertujuan meneliti beberapa langkah serta ikhtiar yang boleh diambil secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran semasa.

Menurut beliau, perbincangan tersebut dijangka menyentuh perkembangan terkini berkaitan situasi tenaga global selain impaknya terhadap kos, bekalan serta kesejahteraan ekonomi domestik.

“Beberapa perkara akan dibincangkan dan langkah-langkah yang sesuai akan diteliti. Selepas mesyuarat itu, maklumat mengenai hasil atau keputusan yang dicapai akan dimaklumkan kepada umum,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, isu berkenaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) termasuk bersama pihak Petronas.

Mengulas mengenai sekatan kapal di Selat Hormuz, Fahmi berkata, tiada kapal milik negara ini dikenakan sebarang bayaran tol di laluan berkenaan dan keadaan semasa kekal terkawal.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang grafik atau maklumat tidak rasmi berhubung maklumat berkaitan harga mingguan bahan bakar RON95, RON97 dan diesel.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan harga mingguan bahan bakar itu hanya akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan selepas pukul 6 petang setiap Rabu.

“Keadaan pada waktu ini bahan bakar dalam negara terkawal dan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi minggu hadapan, perkara ini akan terus diteliti dan satu kenyataan akan dibuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain pertemuan esok, satu sidang akhbar turut dijangka diadakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selain kemungkinan kenyataan susulan oleh Perdana Menteri.

Tambahnya, Jemaah Menteri juga bersetuju agar Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertemu dengan jawatankuasa khas Parlimen bagi menyampaikan pandangan serta ikhtiar kerajaan berhubung isu ekonomi dan kewangan susulan konflik di Asia Barat serta krisis tenaga global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button