BERITA SEMASA

Status DNAA: Nicky Liow tidak wajar terus jadi peluru serang PM- peguam

PUCHONG – Ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau Nicky Liow, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta selepas pendakwaan menarik balik kes berkenaan.

Peguamnya, Datuk Rajpal Singh dalam satu sidang media semalam mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.

Katanya, anak guamnya turut melangsaikan tunggakan cukai sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Sehubungan itu, Rajpal menegaskan Nicky tidak wajar terus dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan penularan gambar beliau memakai baju Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan bergambar bersama dalam satu program baru-baru ini.

Beliau berkata, kehadiran Nicky ke majlis kutipan dana PKR berkenaan adalah atas jemputan terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukannya sebagai tetamu khas atau individu yang mempunyai hubungan peribadi dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 orang itu menyaksikan sesi bergambar bersama Anwar hanya berlaku selepas Perdana Menteri selesai menyampaikan ucapan dan kawasan yang pada asalnya dikhaskan kepada tetamu kenamaan dibuka kepada semua hadirin.

“Ramai orang mengambil peluang bergambar, termasuk Nicky. Ia bukan acara khas atau melalui jemputan eksklusif.

“Namun, gambar itu kemudiannya digunakan oleh seorang ahli politik untuk membangkitkan isu besar, walaupun saya sendiri tidak pasti apa tujuannya,” katanya.

Rajpal menjelaskan, Nicky hanya menerima baju-T AMK selepas membuat sumbangan ke tabung Pemuda pada program tersebut.

“Dia hanya memasukkan sejumlah wang ke dalam tabung sumbangan sebelum diberikan baju itu. Dia memakainya tanpa menyangka perkara tersebut akan menjadi kontroversi,” katanya.

Baru-baru ini, Nicky menjadi perhatian selepas sekeping gambar memaparkannya memakai baju PKR dan bergambar bersama Anwar tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai status kes mahkamah yang pernah dihadapinya.

Pada 26 Julai lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh menafikan Nicky merupakan ahli parti itu dengan menjelaskan tiada sebarang rekod menunjukkan beliau pernah memohon keahlian PKR.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button