POLITIK

Nurulhidayah dakwa ada cubaan bentuk persepsi politik terhadap Zahid

KUALA LUMPUR – EXCO Wanita UMNO Malaysia, Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman berkaitan kes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dimanipulasi pihak tertentu bagi membentuk persepsi kononnya Presiden UMNO itu sudah ‘tewas’ dalam kes berkenaan.

Menurut beliau, keputusan mahkamah tersebut hanyalah memberi kebenaran untuk permohonan semakan kehakiman diteruskan ke peringkat pendengaran penuh dan bukannya keputusan muktamad terhadap kes berkenaan.

zahid
Zahid Hamidi

“Hari ini ramai melihat tajuk berita seolah-olah telah ‘menang’ kes terhadap Presiden.

“Hakikat sebenar yang perlu difahami ialah mahkamah hanya membenarkan permohonan semakan kehakiman itu diteruskan ke peringkat pendengaran penuh.

“Dalam bahasa mudah, mahkamah hanya memberi ruang untuk hujahan penuh didengar. Proses undang-undang masih berjalan dan belum diputuskan berdasarkan merit keseluruhan kes,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, terdapat pihak tertentu cuba membina naratif seolah-olah telah berlaku ‘kemenangan politik’ terhadap Presiden UMNO sedangkan proses mahkamah masih di peringkat awal.

Beliau menegaskan bahawa keputusan ‘leave’ atau kebenaran semakan kehakiman bukan bermaksud Zahid didapati bersalah, selain bukan keputusan muktamad terhadap DNAA yang diberikan sebelum ini.

“Dalam sistem perundangan, leave hanyalah proses awal bagi menentukan sama ada sesuatu permohonan layak didengar ke peringkat penuh,” katanya lagi.

Menurutnya, UMNO menghormati proses mahkamah dan prinsip kedaulatan undang-undang, namun pada masa sama berhak mempersoalkan mengapa tekanan serta persepsi awam dilihat lebih tertumpu terhadap Presiden UMNO berbanding kes lain melibatkan keputusan pendakwaan atau DNAA sebelum ini.

“Mengapa dalam begitu banyak isu melibatkan keputusan pendakwaan atau DNAA sebelum ini, hanya kes Presiden yang dilihat menerima tekanan berterusan?

“Adakah ini benar-benar perjuangan prinsip? Atau wujud kecenderungan pendakwaan terpilih dari sudut tekanan persepsi awam dan politik?

“Dalam negara demokrasi, semua pihak berhak mendapatkan proses keadilan yang adil dan bebas daripada tekanan politik mahupun tekanan persepsi media.

“Jika prinsip undang-undang mahu dipertahankan, maka ia perlu konsisten kepada semua pihak, bukan hanya apabila melibatkan Presiden UMNO,” tegasnya.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan wujud tekanan persepsi politik terhadap Zahid dan menyeru ahli UMNO agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh melemahkan semangat parti.

“UMNO pernah melalui ujian yang jauh lebih besar daripada ini. Parti ini dibina bukan dengan emosi sehari, tetapi dengan ketahanan perjuangan puluhan tahun.

“Musuh politik mahu ahli UMNO hilang keyakinan sesama sendiri. Jangan kita izinkan kemenangan mudah kepada mereka melalui perpecahan dan panik yang dicipta oleh naratif politik,” tegasnya.

Terdahulu, keputusan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Faizah Jamaludin pagi tadi, membenarkan Badan Peguam Malaysia membuat semakan kehakiman berkait 47 kes pertuduhan rasuah Zahid melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang menyaksikan beliau memperoleh DNAA pada 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button