BERITA SEMASADALAM NEGERIMALAYSIA MADANIPOLITIK

Zahid Hamidi mohon maaf, nafi niat cemar kesucian agama

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memohon maaf susulan penularan sebuah video yang mengaitkan beliau dengan kenyataan menyentuh perumpamaan berkaitan malaikat.

Menurut Ahmad Zahid, ucapan berkenaan dibuat dalam suasana emosi ketika menggambarkan cabaran besar yang dihadapi sepanjang menerajui kepimpinan parti.

“Perumpamaan itu lahir dalam tekanan yang amat mencabar. Namun saya akui ia boleh menimbulkan kekeliruan dan berpotensi disalah tafsir,” katanya hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tiada niat untuk mempermainkan isu akidah atau mencemari kesucian Islam, malah mengakui bahawa kenyataan itu adalah satu kekhilafan yang wajar ditegur.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keterlanjuran kata. Saya mohon ampun kepada Allah SWT dan memohon maaf kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, beliau menerima segala teguran dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai satu ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri.

“Nilai seorang pemimpin bukan hanya diukur pada tutur katanya, tetapi pada keikhlasan untuk belajar daripada kesilapan,” tambahnya.

Beliau menzahirkan harapan agar setiap ucapan kekal beradab, khususnya dalam isu sensitif agama.

“Saya berdoa agar setiap langkah dan tutur kata kita semua sentiasa dalam lindungan-Nya, serta terpelihara daripada menyeleweng daripada kebenaran yang hakiki,” katanya.

Terdahulu, video ucapan Ahmad Zahid tular di media sosial menerima pelbagai reaksi, termasuk teguran daripada tokoh agama dan masyarakat awam yang menasihatkan agar pemimpin berhati-hati ketika menyentuh perkara berkaitan akidah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button