Bersih jamin perhimpunan #Reformasi100peratus diadakan secara aman
KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz memberi jaminan Perhimpunan #Reformasi100peratus yang dijadualkan berlangsung esok akan diadakan secara aman.
Beliau berkata, perarakan yang bermula dari Tugu Negara pada pukul 8 pagi esok sehingga ke Parlimen itu akan diadakan mengikut ketetapan pihak berkuasa tanpa melibatkan sebarang provokasi.
Katanya, beliau telah bertemu dengan pihak polis di IPD Dang Wangi petang ini bagi menyerahkan notis penganjuran perhimpunan.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar tidak bimbang untuk menyertai perhimpunan dan perarakan itu.
“Semuanya positif sahaja, polis mahu kita jamin tiada ancaman keselamatan, halangan lalu lintas dan isu provokasi berlaku sepanjang perhimpunan.
“Kami akan pastikan semuanya mengikut peraturan dan lancar. Itu jaminan Bersih,” katanya.
Muhammad Faisal berkata, dalam pertemuan dengan polis hari ini beliau ditemani dengan Pengurus Kanan Bersih, Asraf Sharafi Mohd Azhar.

Perhimpunan #Reformasi100% diadakan bagi menuntut kerajaan melakukan reformasi pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Bersih antara lain turut mendesak agar kerajaan tidak lagi memberikan penghakiman lepas tanpa bebas (DNAA) bagi kes yang berkait kepentingan awam.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata tiada notis difailkan untuk memaklumkan pihak berkuasa mengenai perhimpunan itu, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








