BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pecah amanah projek LCS : Bekas Pengarah Urusan BNS dilepas tanpa dibebaskan

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, didapati tidak sesuai untuk dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM21.08 juta, berdasarkan laporan pakar psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Susulan laporan itu, Mahkamah Sesyen memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Ramli atas pertuduhan berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Keputusan dibuat oleh Hakim Suzana Hussin, yang menerima laporan kesihatan tertuduh, 81, yang mengesahkan keadaan mentalnya tidak membolehkannya melalui proses perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan bahawa permohonan representasi Ahmad Ramli telah ditolak dan pihak pendakwaan bersedia meneruskan kes.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden merujuk laporan perubatan yang menyatakan bahawa tertuduh tidak mampu mempertahankan diri.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran berjumlah RM13.54 juta, RM1.36 juta, dan RM6.18 juta kepada beberapa syarikat di Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, antara tahun 2010 dan 2011.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan, dan denda, jika sabit kesalahan.

Namun, hukuman sebatan tidak boleh dikenakan terhadap pesalah wanita serta lelaki berusia lebih 50 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button