BERSATU tanggung kos pilihan raya PN, sumbang dana besar kepada PAS – Dr Marzuki
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menanggung keseluruhan kos pilihan raya Perikatan Nasional (PN) selain turut memberikan sumbangan kewangan besar kepada PAS ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Ahmad mendakwa, semua perbelanjaan termasuk peralatan kempen yang menggunakan logo PN dibiayai sepenuhnya oleh BERSATU.
“Malah BERSATU juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS.
“Hasilnya, PAS menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam sejarah 70 tahun mereka dalam politik Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, beliau bersetuju dengan anggaran Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa dana minimum diperlukan untuk satu kawasan Parlimen adalah sekitar RM1 juta dan jumlah itu boleh meningkat bergantung kepada faktor pengundi, saiz kawasan serta keperluan logistik.
Katanya, kos pilihan raya meliputi pelbagai aspek termasuk percetakan bahan kempen seperti bendera, poster, kain rentang dan papan iklan selain latihan jentera serta pembayaran elaun untuk ejen pengundian dan pengiraan (PACA).

“Kalau tak diberi elaun, mereka ponteng. Siapa nak perhati proses membuang undi dan mengira undi kalau mereka ponteng.
“Kalau ada penipuan kerana tiada PACA di tempat mengundi, parti akan kalah,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, perbelanjaan juga melibatkan pengangkutan pengundi ke pusat mengundi, elaun pemandu, minyak kenderaan serta penyediaan bilik gerakan, pengiklanan di media massa dan media sosial serta kos kajian pilihan raya.
“Pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira mana-mana parti pun, inilah kos yang terpaksa ditanggung,” katanya lagi.
Terdahulu, ketika berucap di Muktamar PAS semalam Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, PAS menanggung semua perbelanjaan dan jentera parti pada PRU15, tetapi ada pihak dalam PN berebut untuk menjadi ketua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








