BERITA SEMASA

Tindakan pembangkang tinggalkan Dewan Rakyat ketika bahas RCI TH tidak bertanggungjawab – Dr Zulkifli

PUTRAJAYA – Semua Ahli Parlimen sepatutnya mengambil peluang membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Tabung Haji (TH) bagi memastikan isu berkenaan dapat dikupas secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan segelintir waklil rakyat pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan RCI TH disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Kita perlu bersama-sama berbahas, bertanya soalan dan mengupas isu ini supaya dapat mencari keputusan atau penyelesaian yang terbaik.

“Alhamdulillah, perbahasan kini telah selesai dan kita memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan serta penguatkuasaan dan melakukan yang terbaik. Kita menghormati proses undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah
Jasamu Di Kenang, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Seramai 20 kakitangan cemerlang dan empat pesara diraikan pada majlis berkenaan.

Sejak APC diperkenalkan pada tahun 2010, YADIM telah memberikan pengiktirafan kepada 209 pegawai dan kakitangan yang memberikan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Kelmarin, wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan RCI TH di Dewan Rakyat.

Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hasan membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya sidang khas berkenaan RCI TH pagi ini ditangguhkan, dengan alasan ia tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, Johari memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini dengan sesi penerangan oleh Dr Zulkifli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button