BERITA SEMASADALAM NEGERI

PGA rampas lebih 28 tan susu getah, jentera bernilai lebih RM400,000

IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas lebih 28 tan susu getah selain menyita pelbagai jentera dan peralatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM477,460 hasil serbuan ke atas sebuah premis di Taiping, semalam.

Menurut Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Balveer Singh, menerusi OP INTRA itu, dua lelaki tempatan berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun ditahan.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan sekitar 12.30 tengah malam hingga 8 pagi oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, PGA Ulu Kinta dengan kerjasama Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

“Operasi itu hasil risikan selama sebulan dan selepas mengekori sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah dari Kedah ke sebuah premis di Taiping.

“Pemeriksaan mendapati suspek memindahkan susu getah daripada lori tangki ke dalam tong-tong plastik biru berkapasiti 50kg menggunakan hos dan mesin pam,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan Dan Permit) 2014.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta supaya segera menghubungi pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button