PDRM, MCMC tumpaskan sindiket SMS palsu guna peralatan telekomunikasi haram
CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).
Kejayaan itu dicapai menerusi Operasi Pancing yang dijalankan baru-baru ini hasil risikan serta aduan awam.
Menurut kenyataan MCMC, seorang individu ditahan ketika mengendalikan peralatan berkenaan dalam sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan mendapati peralatan komunikasi tersebut aktif berfungsi sebagai Fake BTS. Ujian frekuensi mengesahkan ia digunakan untuk menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam di kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan tangkapan itu, MCMC dengan bantuan PDRM menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta peralatan berkaitan Fake BTS.
Siasatan awal turut mendedahkan sindiket berkenaan telah mengubah suai peralatan tersebut untuk beroperasi secara mudah alih.
“Secara keseluruhannya, 45 barangan berkaitan dengan anggaran nilai RM100,000 telah disita. Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000, yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Rakaman keterangan suspek dijalankan di Menara KPJ, Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment