JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar direman tujuh hari, disyaki tikam wanita hingga kritikal

SEPANG – Seorang pelajar lelaki sebuah universiti swasta direman selama tujuh hari selepas dipercayai menikam seorang wanita hingga cedera parah dalam kejadian di sebuah apartmen di Bandar Sunsuria, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek warga tempatan berusia 22 tahun itu ditahan pada hari kejadian kelmarin.

Menurutnya, suspek dipercayai menyerang mangsa berusia 34 tahun menggunakan senjata tajam di kediaman sewa berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang baru menyewa salah sebuah bilik di apartmen itu melalui aplikasi penginapan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal namun stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Setakat ini, sebanyak 10 keterangan telah diambil. Ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya lagi.

Menurut beliau, suspek direman bermula hingga 16 April bagi membantu siasatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Azroy Amran di talian 014-2723342 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kegusaran awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button