PGA gempur kilang kaolin haram, rampasan cecah RM20.88 juta
IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan memproses bahan mineral jenis kaolin secara haram selepas menyerbu sebuah premis di Simpang Pulai, kelmarin, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM20.88 juta.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi menerusi Ops Bersepadu Khazanah itu turut membawa kepada penahanan dua individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Menurut beliau, suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an dan seorang warga Myanmar berusia 30-an.
“Operasi ini dilaksanakan oleh Cawangan Risik Batalion 1 PGA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Siasatan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemprosesan tanah putih dengan kaedah menapis, mencuci, memampat dan mengasingkan mineral kepada pasir serta kaolin tulen bagi meningkatkan kualitinya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, kaolin yang telah diproses itu kemudian dipasarkan sebagai produk gred tinggi pada harga lebih mahal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa merampas pelbagai jenis mesin serta jentera pemprosesan selain sejumlah besar bahan mineral.
“Antara yang dirampas ialah 354,000 kilogram (kg) kaolin berkualiti tinggi siap diproses, 17,000 kepingan kaolin, 95,000kg longgokan kaolin serta 50,000kg tanah liat putih jenis kaolin yang belum diproses,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 serta Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525).
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







