200kg syabu bernilai RM10.27 juta cuba diseludup ke Malaysia dirampas
PATTANI – Cubaan menyeludup kira-kira 200 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM10.27 juta ke Malaysia berjaya dipatahkan pihak berkuasa Thailand selepas sebuah trak pikap ditahan dalam operasi di daerah Nong Chik, di sini semalam.
Rampasan itu dilakukan Pasukan Petugas Khas Wilayah Pattani pada pukul 12 tengah hari selepas menerima maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan dadah di kawasan Mo Kaeng.
Jurucakap Biro Pencegahan Narkotik Polis Wilayah Pattani berkata, hasil pemeriksaan ke atas trak pikap berkenaan menemukan 11 kotak yang mengandungi 200 bungkusan syabu, dengan setiap satu seberat satu kilogram.
“Seorang pemandu berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek mendedahkan bahawa kesemua dadah itu akan dihantar kepada satu kumpulan lain di Sungai Golok, Wilayah Narathiwat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai merancang membawa masuk bekalan dadah tersebut ke Malaysia melalui laluan hutan di kawasan sempadan.
Pihak berkuasa Thailand kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rentas sempadan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








