Senarai calon KP SPRM telah diserah kepada Agong – PM
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan senarai calon Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut beliau, satu perbincangan bersama Sultan Ibrahim telah diadakan berhubung senarai calon tersebut dalam pertemuan di Istana Pasir Pelangi, di sini pagi tadi.
“Nanti saya akan umumkan kemudian (Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu),” katanya ringkas ketika ditemui di selepas makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, di sini hari ini.
Ketika ini, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM disandang Tan Sri Azam Baki yang kontraknya dijadualkan tamat 12 Mei ini.
Mengenai senarai nama calon diserahkan kepada Sultan Ibrahim, Anwar sekadar memberitahu jumlah yang layak.
“Nama yang layak ada 120,” katanya dalam nada berseloroh, memetik laporan BH Online.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda sambil menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Azam mula menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan pada 2 Mac 2020, selepas hanya kira-kira 10 bulan memegang jawatan tersebut.
Beliau dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun.
Terdahulu, Perdana Menteri sempat beramah mesra bersama komuniti tempatan di Permas Jaya, sebelum menyertai lebih 1,500 jemaah, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








