Tiga pendekatan utama dilaksana bagi pastikan veteran ATM berupaya peroleh kerjaya kedua selepas bersara – Menteri Pertahanan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan memastikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berupaya mendapat kerjaya kedua setelah bersara menerusi tiga pendekatan utama yang merangkumi sasaran jangka pendek dan jangka panjang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara langkah diambil termasuk menerusi peranan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang diberi tanggungjawab merancang, mengurus dan melaksanakan latihan peralihan kepada anggota ATM yang bakal besara.
“Program dan kerjasama yang diusahakan PERHEBAT akan diubah pendekatannya.
“Antaranya, pertama, melakukan pelbagai kerjasama dan hubungan strategik bagi memastikan latihan yang diberikan adalah bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan pasaran. Kedua, memastikan modul peralihan bersifat praktikal berdasarkan industri ataupun ‘industry base’ dan tidak terlalu menekankan aspek teori.
“Ketiga, memastikan berlaku lebih banyak kolaborasi dan penglibatan pihak industri secara lebih intensif, khususnya entiti-entiti di dalam ekosistem MINDEF dan para syarikat yang diberikan kontrak peralihan oleh kerajaan. Keempat, menempatkan para pelatih secara terus di dalam pasaran atau syarikat-syarikat berbanding dikumpulkan di pusat latihan PERHEBAT, sama ada di Sungai Buloh ataupun di tempat-tempat lain,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen, semalam.
Mohamed Khaled berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PAS-Ketereh) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha-usaha kementerian setakat ini dalam menentukan veteran tentera mendapat kerjaya kedua setelah menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi seterusnya menambah, strategi kementerian adalah mentransformasikan PERHEBAT supaya tidak sekadar menjadi penyedia latihan tetapi merupakan institusi yang menghubungkan bakal-bakal pesara secara proaktif dengan pasaran sebenar.
Pada masa yang sama, PERHEBAT akan turut membantu mereka secara agresif dan praktikal supaya dilengkapi dengan pelbagai aspek yang menjadi tuntutan majikan dan juga pasaran semasa.
Tambah Mohamed Khaled lagi, Jabatan Hal Ehwal Veteran turut menyediakan program dan pelbagai inisiatif untuk memastikan veteran mendapat pekerjaan yang baik dan dipantau kesejahteraannya.
“Antara inisiatif yang dilakukan adalah menjalankan kerjasama dengan PERKESO iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi platform MyFutureJobs bagi membantu veteran ATM dalam membuat pilihan kejayaan yang luas.
“Dan kedua, kolaborasi dengan Jabatan Perhilitan bagi melantik veteran ATM sebagai ‘ranger community’. Sama seperti PERHEBAT, kita telah turut mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk turut meneroka lebih banyak kerjasama dengan pihak lain khususnya pemain industri,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya kini sedang memuktamadkan pengenalan inisiatif yang dikenali sebagai Program Pembelajaran Berasaskan Kerja atau ‘Work Based Learning’ (WBL).
“Kita insya-Allah akan mula laksanakannya pada tahun hadapan di mana di bawah program ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Institusi Pengajian Tinggi,” katanya lagi.
Program ini, kata Mohamed Khaled, membolehkan segala pengalaman, ilmu, bakat dan kemahiran anggota ATM yang sudah berkhidmat untuk suatu tempoh akan dinilai secara berstruktur untuk diberikan diploma atau ijazah atau kelayakan yang lebih tinggi mengikut kelayakan dan kesesuaian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








