BN Johor lancar jentera pilihan raya Ahad ini
JOHOR BAHRU – Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi Barisan Nasional (BN) akan dilancar secara rasmi di Stadium Educity, Kota Iskandar, Ahad ini.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, majlis pelancaran itu bakal menjadi titik permulaan gerak kerja menyeluruh jentera BN dalam menghadapi PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Beliau berkata, majlis pelancaran tersebut akan disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 3.30 petang.
“Majlis ini bukan sekadar pelancaran jentera pilihan raya, tetapi manifestasi kesatuan, kekuatan dan kesiapsiagaan BN Johor untuk berdepan PRN Ke-16. Kita menyeru seluruh ahli dan penyokong BN hadir beramai-ramai bagi menunjukkan semangat perjuangan serta komitmen untuk memastikan Johor terus menikmati kestabilan politik dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Md Israk, pelancaran jentera tersebut juga menjadi medan untuk menyuntik semangat kepada seluruh jentera parti sebelum turun mendekati rakyat di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor.
“BN Johor bersedia menggalas amanah rakyat dan meneruskan agenda pembangunan negeri yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran sebelum ini,”katanya.
Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








