POLITIK

PKR tidak toleransi ahlinya terlibat perlakuan jenayah, termasuk gangguan seksual

PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahlinya yang terlibat dalam kes jenayah termasuk gangguan seksual.

Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil berkata, berkenaan kes baru-baru ini yang didakwa dilakukan oleh seorang bekas Ahli Parlimennya, PKR menyerahkan perkara itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat.

“Yang membabitkan perkara seperti gangguan seksual adalah perkara yang tidak harus kita bertoleransi.

“Namun berkaitan perkara itu (dakwaan bekas Ahli Parlimen PKR terbabit jenayah gangguan seksual), kita belum mendapat apa-apa maklumat dan kita serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, polis sedang menyiasat seorang bekas Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Selangor.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut meminta pengamal media yang mengalami gangguan seksual ketika bertugas di lapangan supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan pengamal media dijamin serta keadilan dapat ditegakkan kepada setiap mangsa.

“Saya ingin beri jaminan (kepada) semua wartawan, sekiranya anda jadi mangsa gangguan seksual tidak kira anda lelaki atau wanita. Sila buat laporan polis dan juga sampaikan makluman kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, seorang wartawan wanita dilapor mengalami gangguan seksual ketika bertugas membuat liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button