Dua maut dalam serangan tentera AS terhadap ‘kapal dadah’ di Laut Pasifik
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengesahkan dua individu terbunuh dalam serangan terbaharu terhadap sebuah kapal di Laut Pasifik yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah ke negara itu.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam satu hantaran media sosial, malam tadi mendakwa kapal yang terlibat dalam penyeludupan narkotik itu dihapuskan oleh pasukan AS di perairan antarabangsa di Pasifik Timur atas arahan Presiden Donald Trump.
Dengan tindakan terbaharu ini, beliau berkata, jumlah mangsa maut dalam serangan ke atas bot di Caribbean dan Pasifik sejak awal September kini mencecah sekurang-kurangnya 67 orang.
Rakaman udara ringkas yang disiarkan oleh pihak ketenteraan menunjukkan sebuah kapal dalam keadaan statik sebelum terkena peluru berpandu dan meletup.
Bagaimanapun rakaman itu disunting supaya identiti anak kapal tidak dapat dilihat, menurut kenyataan berkenaan.
“Kami akan mencari dan menamatkan setiap kapal yang berniat menyeludup dadah ke Amerika untuk menjejaskan rakyat kita. Melindungi tanah air adalah keutamaan tertinggi kami.”
Walaupun dakwaan penyeludupan dikemukakan, beberapa ahli undang-undang dan pemerhati antarabangsa melahirkan kebimbangan bahawa serangan sedemikian boleh dianggap sebagai pembunuhan di luar proses perundangan (extrajudicial killings) sekiranya tiada bukti kukuh atau prosiding undang-undang terhadap yang disyaki.
Setakat ini, Pentagon belum mengemukakan butiran bukti awam yang menyokong dakwaan mengenai kegiatan penyeluduhan dadah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














