Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Sungai Petani
SUNGAI PETANI – Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di daerah ini semalam.
Dalam kejadian pertama, seorang buruh kontrak berusia 39 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dan motosikal lain di Jalan Lencongan Timur, berhampiran pasar raya Mydin Taman Batik.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima makluman kemalangan itu pada pukul 5.20 petang dari bilik kawalan IPD Kuala Muda.
Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda AFP 125 MCS yang ditunggang mangsa dari Aman Jaya bergerak lurus menuju ke Jalan Kuala Ketil.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa cuba mengelak lopak air tetapi hilang kawalan dan terlanggar bahagian tepi sebuah lori jenis Nissan yang berada di lorong sama.
“Ketika itu, sebuah motosikal Yamaha Nouvo LC yang ditunggang lelaki berusia 23 tahun datang dari belakang cuba mengelak namun tidak sempat lalu terjatuh dan melanggar motosikal mangsa,” jelas Hanyan.
Mangsa yang menunggang Honda AFP 125 MCS disahkan maut di tempat kejadian.
Dalam kejadian berasingan pada pukul 7.50 malam, seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun maut selepas motosikalnya terbabas sendiri di Kilometer 33.5 Jalan Alor Setar – Butterworth.
Mangsa yang berasal dari Kampung Matang Keriang, Kuala Sanglang, Perlis, dikatakan sedang bergerak dari arah Gurun menuju ke Guar Chempedak apabila hilang kawalan dan terjatuh.
Mangsa juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kedua-dua insiden itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








